Wednesday, June 6, 2012

Tunang Dan Soal Jawab Pertunangan



1. Apakah yang dimaksudkan dengan ikatan PERTUNANGAN?
Ikatan Pertunangan ialah suatu perjanjian yang diadakan di antara pihak lelaki dan perempuan untuk berkahwin.

2. Bagaimanakah PERTUNANGAN ini dijalankan?
Pertunangan ini biasanya dijalankan mengikut adat dan budaya masyarakat setempat.

3. Bolehkah PERJANJIAN PERTUNANGAN ini dibuat secara lisan atau bertulis?
Perjanjian Pertunangan boleh dibuat secara lisan atau bertulis tetapi sebaik-baiknya perjanjian ini dibuat secara bertulis untuk memastikan hak-hak pihak-pihak dalam perjanjian terjamin.

4. Apakah SYARAT-SYARAT ASAS untuk pertunangan?
Syarat-syarat asas untuk pertunangan adalah:
i.) Tiada halangan di antara pihak lelaki dan pihak perempuan untuk berkahwin.
ii.) Pihak lelaki atau perempuan belum ditunangkan dengan orang lain dan
iii.) Pihak-pihak bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan.

5. Apakah HALANGAN-HALANGAN untuk berkahwin?
Halangan untuk berkahwin ialah hubungan muhrim di antara lelaki dan perempuan yang disebabkan oleh keturunan, perkahwinan atau sepersusuan.

6. Apakah PERKARA-PERKARA PENTING yang perlu dipersetujui dalam pertunangan?
i.) Tempoh pertunangan;
ii.) Jumlah mas kahwin;
iii.) Jumlah hantaran perkahwinan;
iv.) Belanja perkahwinan;
v.) Cara atau bentuk pembayaran mas kahwin dan
vi.) Tuntutan ganti rugi dan atau remedi-remedi yang boleh dituntut jika berlaku kemungkiran pertunangan.

7. Sekiranya pihak lelaki GAGAL melangsungkan perkahwinan, bolehkah pihak perempuan mengambil TINDAKAN UNDANG-UNDANG?
Ya, pihak perempuan boleh mengambil tindakan undang-undang jika pihak lelaki gagal melangsungkan perkahwinan.

8. Apakah Undang-Undang yang KHUSUS berkaitan dengan Pertunangan?
Undang-undang yang khusus berkaitan dengan pertunangan ialah peruntukan Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

9. Adakah anda BERHAK untuk menuntut kembali semua pemberian semasa pertunangan jika pihak lelaki MEMUTUSKAN pertunangan tanpa sebab yang munasabah?
Ya, anda berhak untuk menuntut kembali semua pemberian semasa pertunangan sekiranya perkara tersebut dipersetujui pada masa perjanjian pertunangan dijalankan.

10. Apakah REMEDI-REMEDI lain yang boleh dituntut daripada pihak yang mungkir?
i.) Ganti rugi hantaran yang boleh diberikan kepada pihak yang mungkir.
ii.) Ganti rugi perbelanjaan langsung atau tidak langsung dalam membuat persediaan perkahwinan.
iii.) Ganti rugi hadiah pertunangan dan
iv.) Lain-lain bentuk ganti rugi yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak dalam ikatan perkahwinan.

11. Sekiranya pihak yang MUNGKIR pada PERJANJIAN PERTUNANGAN tidak mahu membayar ganti rugi di atas, bolehkah tindakan undang-undang di ambil terhadap pihak yang mungkir?
Ya, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang mungkir.

12. Bagaimanakah TINDAKAN ini boleh diambil?
Sekiranya anda berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang, anda adalah dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan daripada pengamal undang-undang.

No comments:

Post a Comment